Thursday, June 4, 2009

Sakit: Isteri pesara tidak dilayan

Sakit: Isteri pesara tidak dilayan
ISTERI saya menghidap sakit bengkak di bahagian ketiak dan sebahagian buah dada. Kerana tidak tertahan kesakitan, pada 22 April lalu pukul 9.30 pagi, saya membawanya ke Hospital Ampang (HA), Selangor.
Kami ke Kaunter Kecemasan hospital itu tetapi diarah pergi ke Klinik Kesihatan Ampang (KKA). Kami pun pergi ke KKA. Setelah mendaftar dan menunggu, isteri saya dipanggil dan diperiksa oleh seorang doktor wanita.
Setelah diperiksa isteri saya diberi sekeping surat untuk dirujuk ke HA. Di HA kami dirujuk ke Klinik Pakar (Pembedahan). Kami diarah datang semula lapan hari kemudian (iaitu pada 30 April). Doktor hanya ada dua kali seminggu iaitu pada hari Sabtu dan Khamis. Kami minta dipercepatkan temujanji, tapi ditolak.
Disebabkan isteri saya tidak diberi ubat tahan sakit, kami pun ke salah sebuah klinik swasta untuk mendapatkan ubat.
Pada 30 April setelah tiga jam menunggu di Klinik Pakar Pembedahan, isteri saya diperiksa oleh doktor dan diberi ubat. Satu temujanji untuk ujian mamogram ditetapkan 15 hari kemudian pada 15 Mei.
Isteri saya makan ubat yang diberi, tapi kurang berkesan kerana masih sakit. Adik-beradik saya meminta saya ke hospital swasta, tapi sebagai bekas kakitangan kerajaan, saya tidak berkemampuan dan masih percaya kepada perkhidmatan hospital kerajaan.
Pada 15 Mei, kira-kira 9 pagi kami ke HA untuk ujian memogram. Malangnya ujian itu tidak dapat dijalankan kerana buah dada isteri saya masih sakit, dan sebaliknya ujian ultra sound sahaja dijalankan. Doktor pakar x-ray memaklumkan isteri saya tidak menghidap barah payu darah.
Beliau menasihatkan kami jangan risau dan bengkak itu akan hilang sendiri. Temujanji berikutnya ialah pada 28 Mei. Kami juga tidak dibekalkan ubat walaupun isteri saya masih sakit.
Oleh kerana terlalu sakit, saya membawa isteri saya ke HA pada 25 Mei kira-kira 9.30 pagi. Bahagian Kecemasan HA mengarahkan kami ke KKA. Bahagian itu tidak dapat menerima isteri saya dengan alasan 'sakit tidak serius'.
Di Kaunter Pakar Bedah, jururawatnya juga mengarahkan kami ke KKA dengan alasan hari itu tiada doktor.
Saya kata isteri saya sakit dan perlu ubat. Jururawat itu suruh saya pergi ke bahagian kecemasan. Saya kata bahagian itu tidak mahu menerima kami. Dengan rasa kecewa kami beredar ke KKA. Isteri saya menceritakan pengalamannya di HA kepada doktor bertugas dan doktor itu terkejut dengan apa yang berlaku. Doktor itu memberi ubat tahan sakit kepada isteri saya.
Persoalan saya ialah, memang begitukah proses yang perlu dilalui oleh seseorang pesakit yang memerlukan rawatan di hospital kerajaan, khususnya Hospital Ampang?

PESARA SEDIH
Taman Sri Watan, Ampang

SUMBER DARI UTUSAN MALAYSIA 4 Jun 2009

No comments: